Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk mengugut bunuh dan mencederakan teman wanitanya kerana berang mangsa mahu memutuskan perhubungan, Januari lalu.

N Eesun, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa menakutkan secara jenayah untuk membunuh DS Sunitajoshi Kaur, 47, di sebuah rumah pangsa di Taman Anika, dalam daerah Melaka Tengah, dekat sini, pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 8.30 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.

EESUN didakwa atas tiga pertuduhan termasuk mengugut bunuh dan mencederakan teman wanita. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
EESUN didakwa atas tiga pertuduhan termasuk mengugut bunuh dan mencederakan teman wanita. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati meletakkan sebilah pisau di tepi hidung sehingga sebelah kiri ke atas bibir wanita sama sehingga menyebabkan mangsa cedera di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda, atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Eesun seterusnya dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Hafiz Sulaiman Rathakrishnan, 28, dengan pisau di bawah pondok berdekatan kolam air pancut, Jalan Baru, di sini, pada tarikh sama, kira-kira jam 7 malam.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar menawarkan jaminan RM16,000 bagi semua pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes untuk sebutan semula pada 14 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 4:59 PM