Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Wanita terlepas hukuman gantung manakala suaminya diperintah membela diri atas pertuduhan pindaan mengedar dadah kanabis seberat 484 gram empat tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Nurul Shakila Mohd Ikram Rajoo, 31.

Dia yang juga tertuduh kedua dituduh atas beberapa elemen termasuk niat bersama mengedar dadah dan pengetahuannya berhubung pemilikan dadah yang ditemui di bawah pelapik kaki tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta.

Menurutnya, berdasarkan keterangan rakaman percakapan Nurul Shakila, dadah itu sudah ada ketika dia menaiki kereta yang digunakan oleh suaminya (tertuduh pertama) Mohd Salleh Meerasha, 34, sepanjang masa biarpun kenderaan itu didaftar atas namanya.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi antara lain mendapati kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh pertama, berhubung pengetahuan, pemilikan dan kawalan dadah kanabis seberat 484 gram.

"... dan bukan keseluruhan 2,414 gram yang dirampas disebabkan ada bungkusan tidak ditandakan sebelum diserah untuk analisa oleh Jabatan Kimia

"Tertuduh pertama diperintah membela diri atas pertuduhan pindaan mengedar 484 gram dadah kanabis, manakala tertuduh kedua dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya di akhir kes pendakwaan, hari ini.

NURUL Shakila bersama peguamnya sejurus dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
NURUL Shakila bersama peguamnya sejurus dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Salleh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis berat bersih 484 gram di Jalan A Eredia Road Portuguese Settlement dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2019, kira-kira 8.40 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 39B(2) akta sama, membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memilih memberi keterangan bersumpah dalam perbicaraan kes pembelaan pada 23 Februari depan.

Mengikut pertuduhan asal, pasangan itu didakwa dengan niat bersama mengedar 2,414 gram kanabis mengikut Seksyen 39B (1) (a) akta sama yang dibaca bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Nurul Shakila kelihatan sebak dan bersyukur sejurus mendengar penghakiman itu dan segera beredar dari Kompleks Mahkamah selepas bersalaman dengan peguamnya, Andrew Lourdes.

Sepanjang perbicaraan kes bermula 12 Oktober 2020, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad memanggil lapan saksi memberi keterangan sebelum menutup kes mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:12 PM