GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bertemu semula rakan penagih semasa menyambut perayaan Aidilfitri dan jualan dadah pada harga lelong dipercayai menjadi punca bekas penagih dadah kembali mengambil bahan terlarang itu.

Perkara itu didedahkan Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) yang menjangkakan berlaku peningkatan kes kembali mengguna dadah (relapse) pada musim perayaan, berdasarkan trend sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, ia boleh meningkat sehingga 20 peratus dari kalangan pengguna bahan terlarang seperti dadah yang baru pulih selama tiga tahun dan ke bawah.

"Ini disebabkan faktor individu yang tinggal di bandar dan pulang ke kampung halaman bertemu kembali rakan lama yang bersama menggunakan bahan terlarang itu.

"Kebanyakan pengguna dadah belum pulih sepenuhnya mempunyai rasa rindu mendalam kepada dadah terutama yang baru pulih daripada ketagihan.

"Malah dadah jenis baharu kini mempunyai kadar bahan asing sintetik dan bukan dari bahan semulajadi yang boleh merosakkan sistem saraf otak menjadikan orang dalam pemulihan ini sukar untuk kekal pulih tanpa bantuan orang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, terdapat pengedar yang dipercayai menjual dadah pada harga lelong bagi menghabiskan stok sebelum perayaan.

Kata beliau, keadaan itu membuka ruang kepada bekas pengguna untuk mendapatkannya semula ketika bergaul bersama rakan penagih.

"Bekas pengguna akan mudah melupai sakit di penjara dan pusat pemulihan apabila kembali bersama rakan lama. Mereka ini perlu sokongan keluarga yang berterusan semasa musim perayaan dan perlu dinasihati untuk kekal bergaul bersama rakan yang sudah pulih," katanya.

Katanya, ahli keluarga juga perlu mengambil tahu setiap pergerakan bekas pengguna kerana khuatir mereka kembali menggunakan dadah apabila bercampur rakan penagih atau berasa sunyi serta terpinggir.

Dalam pada itu, Raja Azizan berkata, MASAC sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bagi menangani isu dadah dan substans.

Menurut beliau, MASAC turut memuji usaha kerajaan negeri berkenaan mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah dan membiayai peruntukan membeli peralatan untuk menggempur aktiviti itu.

"MASAC yang dianggotai puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara kini dalam fasa kajian untuk menyatukan lebih banyak pusat rawatan pemulihan dadah menggunakan pendekatan Islam di negara ini," katanya.

Tambahnya, MASAC mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mewujudkan modul bersepadu dan tidak melanggar hukum syariah yang digariskan pihak terbabit.

MASAC juga merangka pelbagai program dengan kerjasama kerajaan dan swasta sepanjang tahun ini serta mengharapkan lebih banyak NGO menyertai MASAC dalam usaha membantu negara bebas dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 4:32 PM