LOBI lif di aras 7 yang berkonsepkan rumah kampung cetusan idea Zaini. FOTO Mohd Adam Arinin
LOBI lif di aras 7 yang berkonsepkan rumah kampung cetusan idea Zaini. FOTO Mohd Adam Arinin
Yun Mikail


Putatan: Melihat keadaan luaran blok C Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, dekat sini, tidak jauh berbeza dengan perumahan PPR lain.

Namun gambaran itu menjadi luar biasa apabila menjejakkan kaki ke lobi utama setiap tingkat yang dihias indah umpama ruang tamu sesebuah kediaman.

Tingkat tujuh blok berkenaan diubahsuai seperti berada dalam suasana rumah kampung lengkap dengan perabot kayu serta lukisan dinding.

Ketua aras tujuh, Zaini Sait, 56, berkata, dia mengambil masa lebih sebulan untuk mengecat semua dinding di sekitar lobi tingkat berkenaan agar kelihatan seperti rumah kayu tradisi Melayu yang kebiasaannya dilihat di kampung halaman.

"Kita lihat sebelum ini ia hanyalah dinding konkrit biasa yang dicat putih. Apabila ketua blok ini mencadangkan pertandingan keceriaan mengikut aras, idea ini muncul dan saya terus merealisasikannya perlahan-lahan sehingga siap dengan dibantu penghuni lain.

"Saya mahu penghuni atau orang luar yang datang ke aras tujuh ini berasa teruja dan terkejut kerana apabila mereka keluar saja dari lif atau kediaman masing-masing, seolah-olah berada di suatu rumah kampung yang cantik dan mendamaikan.

"Lebih istimewa lagi, kita menggunakan kemahiran mengecat dinding yang ada untuk kelihatan umpama rumah kayu dan bukannya menampal kertas hiasan.

"Walaupun terpaksa mengambil waktu sedikit lama disebabkan faktor kekangan masa tetapi kami bersyukur ruang lobi ini berjaya disiapkan sekali gus dinobatkan juara keseluruhan pertandingan," katanya.

RUANG pada sudut lobi lif dihias cantik di Blok C PPR Taman Sri Serigai. FOTO Mohd Adam Arinin
RUANG pada sudut lobi lif dihias cantik di Blok C PPR Taman Sri Serigai. FOTO Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Ketua Blok C PPR Taman Sri Serigai, Jaffri Abdul Rashid, 49, menyatakan pertandingan keceriaan dianjurkan blok di bawah jagaannya itu adalah penganjuran kali ketiga selepas pertandingan sama dibuat blok A dan B pada Ogos serta Disember tahun lalu.

"Pertandingan keceriaan bagi blok C ini mula dianjurkan bermula Mac sehingga bulan ini.

"Secara keseluruhannya, penganjuran program ini bukan saja mewujudkan keceriaan namun ia juga secara tidak langsung mendidik penghuni setempat menjaga kebersihan.

"Selain itu, kita dapat lihat hubungan kejiranan turut semakin erat berbanding sebelum ini," katanya. Ditanya mengenai usaha penghuni blok berkenaan menjadi tular di media sosial, Jaffri berkata, beliau terkejut dengan perkara itu tetapi melihatnya sebagai suatu perkara positif yang boleh diikuti oleh warga PPR lain.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serigai, Johan Killa berkata, objektif penting beliau melaksanakan pertandingan itu adalah bagi mengubah tanggapan masyarakat sama ada penghuni atau orang luar terhadap PPR.

WARNA merah jambu menjadi pilihan penghuni aras 3 Blok C PPR Taman Sri Serigai. FOTO Mohd Adam Arinin
WARNA merah jambu menjadi pilihan penghuni aras 3 Blok C PPR Taman Sri Serigai. FOTO Mohd Adam Arinin

"Lazimnya apabila bercakap mengenai PPR, banyak persepsi negatif dilemparkan seperti tidak menjaga kebersihan, hidup tanpa keharmonian, tiada kerjasama dan banyak berlakunya kes jenayah.

"Saya bersyukur kita mampu mengubah mentaliti sedikit demi sedikit di PPR Sri Serigai ini menerusi penganjuran pertandingan keceriaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:14 PM