Juwan Riduan


Kota Kinabalu: "Sayu hati melihat rumah musnah terbakar pada hari ketiga Aidilfitri ini.

"Namun saya masih bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat," kata Laydia Bantunan, 60.

Laydia antara penduduk yang kehilangan tempat berteduh selepas 30 rumah musnah terbakar di Kampung Meruntum, Lok Kawi, di sini, sekitar 5.30 petang semalam.

Menurut warga emas itu, Aidilfitri kali ini bukan saja disambut suram dengan penularan Covid-19, ia ditambah lagi dengan musibah kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumahnya.

Katanya, mereka sekeluarga buntu dan tidak tahu di mana lagi mencari tempat berlindung bersama keluarga selepas kehilangan rumah dalam kejadian itu.

Namun, katanya, di sebalik kesedihan itu, dia amat bersyukur kerana suami serta anak dan cucunya terselamat daripada musibah kebakaran berkenaan.

"Kami hanya mampu melihat rumah kasih musnah dimamah api kebakaran," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Menceritakan kejadian itu, Laydia berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar seorang daripada cucunya ke rumah anaknya di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sampai berhampiran rumah, dia terkejut apabila keadaan menjadi sangat kelam kabut dengan asap tebal menyelubungi udara di perkampungan berkenaan.

PENDUDUK membantu menyelamatkan harta benda ketika kebakaran berlaku di Kampung Meruntum, Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin
PENDUDUK membantu menyelamatkan harta benda ketika kebakaran berlaku di Kampung Meruntum, Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin

"Saya terus menjerit memanggil suami dan dua cucu keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri.

"Suami cuba menyimbah air ke arah rumah namun gagal mengawal api daripada terus memusnahkan rumah kami," katanya.

Laydia berkata, semua mangsa kebakaran difahamkan akan ditempatkan di Taman Serigai, dekat sini, sebagai penempatan sementara mangsa-mangsa kebakaran.

Berita berkaitan

30 rumah terbakar, 3 bomba cedera terkena renjatan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 12:03 AM