LELAKI meragut wanita di hadapan gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Jalan SG 3/11, Taman Sri Gombak, gagal selepas terlanggar kereta ketika ingin melarikan diri sebelum ditahan orang awam.
LELAKI meragut wanita di hadapan gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Jalan SG 3/11, Taman Sri Gombak, gagal selepas terlanggar kereta ketika ingin melarikan diri sebelum ditahan orang awam.
Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Cubaan seorang lelaki meragut wanita di hadapan gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Jalan SG 3/11, Taman Sri Gombak, gagal selepas terlanggar kereta ketika ingin melarikan diri sebelum ditahan orang awam hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi.

Menurutnya, mangsa berusia 33 tahun ketika berada di hadapan gerai itu sebelum didatangi lelaki berusia 29 tahun dengan menunggang motosikal Yamaha LC sebelum meragut beg wanita terbabit.

"Ketika suspek cuba melarikan diri, motosikalnya terlanggar sebuah kenderaan orang awam sebelum dia ditahan dan diserahkan kepada polis.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal berkata, pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang oleh suspek mendapatinya dilaporkan hilang di Kajang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada 9.30 pagi esok untuk permohonan reman," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih atas tindakan proaktif oleh orang awam hingga tertangkapnya suspek.

"Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Atikah Adnan di talian, 03-61262222 atau 018-3648044," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:36 PM