DR NOOR Hisham. FOTO Arkib NSTP/Aziah Azmee
DR NOOR Hisham. FOTO Arkib NSTP/Aziah Azmee
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan jawatankuasa transplantasi bagi mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup termasuk mengelak risiko aktiviti pemerdagangan organ.

Ia merangkumi pasangan bakal penderma dan penerima yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan mahupun membabitkan pasangan bakal penderma dan penerima bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jawatankuasa ini akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan tahap sosio-ekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi.

Katanya, langkah itu bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik serta kesejahteraan bakal penderma tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan.

"Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak membabitkan sebarang paksaan mahupun mempunyai unsur pemerdagangan.

"Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM tidak menyokong mana-mana individu mahupun organisasi yang terbabit dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

"Dalam hal ini, pihak KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Malaysia juga menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008) yang menyatakan organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama, mahupun status sosial atau kewangan.

"Deklarasi in juga menekankan komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan.

"Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, pelancongan transplantasi dan komersialisasi transplantasi," katanya.

Katanya, KKM ingin menekankan sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

"Sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak.

"Jika terdapat aktiviti membabitkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

"Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini.

"Pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam seta pendidikan ke arah pendermaan organ beretika.

"Perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi membabitkan pendermaan organ daripada penderma hidup mahupun penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.

"Dasar KKM ini jelas dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik)," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Sumber Transplan Nasional (PST) di talian 1800-88-9080 atau emel kepada [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 9:19 AM