PROSES perolehan tulang penderma.
PROSES perolehan tulang penderma.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BANK tulang di negara ini sangat penting untuk penyimpanan sementara tulang yang didermakan sebelum ditransplantasi (dipindahkan) kepada pesakit memerlukan.

Ketika ini, hanya tiga hospital yang mempunyai kemudahan dan kepakaran mengendalikan bank tulang di Malaysia.

Hospital berkenaan ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Bank Tulang PPUM Prof Madya Dr Azura Mansor berkata, fungsi bank tulang di pusat perubatan berkenaan ialah untuk memperoleh, memproses dan menyimpan tulang manusia yang didermakan oleh penderma untuk kegunaan transplantasi tulang seperti yang dibenarkan di bawah Akta Tisu Manusia 130 (1974) dan Fatwa Islam 1995.

Menurutnya, transplantasi tulang alograf bertujuan menggantikan tulang yang mengalami kerosakan atau berpenyakit.

"Tulang alograf ialah tulang daripada manusia iaitu penderma yang digunakan kepada manusia lain iaitu penerima (pesakit).

"Pembekalan tulang alograf daripada bank tulang bertujuan untuk rawatan penyakit berkaitan tulang dan meningkatkan kualiti hidup pesakit serta menyelamatkan nyawa sesetengah pesakit," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya bank tulang tempatan, kos ditanggung pesakit adalah jauh lebih rendah berbanding tulang diimport.

CONTOH tulang alograf.
CONTOH tulang alograf.

"Contoh, untuk mendapatkan tulang pinggul (femoral head) import, pesakit terpaksa membayar kos perkhidmatan sehingga tiga atau empat kali ganda lebih tinggi.

"Tulang alograf tidak boleh dijual beli. Kos yang dikenakan hanyalah kos Perkhidmatan untuk membiayai pelbagai ujian makmal dan proses sterilisasi tulang," katanya.

Dr Azura yang juga Pakar Perunding Ortopedik Onkologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya berkata, keperluan penggunaan tulang alograf oleh pakar ortopedik dalam pembedahan transplantasi tulang semakin meningkat setiap tahun.

"Bekalan tulang daripada penderma amat diperlukan bagi menampung permintaan tulang alograf yang semakin tinggi.

TULANG alograf oleh penderma sebagai gentian (kiri), barah tulang yang dikeluarkan daripada pembedahan (kanan).
TULANG alograf oleh penderma sebagai gentian (kiri), barah tulang yang dikeluarkan daripada pembedahan (kanan).

"Oleh itu, kerjasama di antara hospital sangat digalakkan supaya bilangan pendermaan tulang dapat ditingkatkan," katanya.

Jelasnya, bank tulang memperoleh tulang daripada penderma hidup dan penderma yang telah meninggal dunia (kadaverik).

"Untuk penderma tulang kadaverik, proses pengambilan tulang dilakukan dalam tempoh di antara 12 hingga 24 jam selepas penderma meninggal dunia berdasarkan piawaian perbankan tisu antarabangsa.

"Untuk penderma hidup, tulang alograf diperoleh daripada pesakit yang mengalami kepatahan tulang sendi pinggul, akan digantikan dengan implan atau kepingan tulang lutut semasa pembedahan penggantian sendi lutut," katanya.

Menurutnya, penerima transplantasi tulang bergantung kepada indikasi klinikal yang sangat spesifik.

TULANG alograf sendi pinggul.
TULANG alograf sendi pinggul.

"Contoh, pembedahan yang berkemungkinan menggunakan kaedah transplantasi tulang ialah pembedahan ketumbuhan tulang benigna (tidak berbahaya) dan barah tulang.

"Selain itu, tulang alograf juga boleh digunakan dalam pembedahan tulang belakang spina dan pembedahan penggantian sendi tulang pinggul atau lutut, pembedahan kes trauma dan pembedahan mulut serta rahang (periodontik).

"Pada mulanya, bank tulang PPUM hanya membekalkan tulang alograf kepada pesakit di pusat perubatan ini sahaja.

"Oleh kerana permintaan yang semakin meningkat, dengan pertambahan kes transplantasi tulang, PPUM mula membekalkan tulang alograf untuk menampung keperluan negara iaitu kepada hospital besar kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia sejak 2013," katanya.

Kata Dr Azura, tulang yang diterima daripada penderma perlu disterilkan (dinyah kuman) menggunakan sinaran gamma sebelum dibekalkan untuk tujuan transplantasi.

"Jumlah tulang alograf yang dapat dibekalkan oleh Bank Tulang PPUM setiap tahun ialah tulang pinggul iaitu 60 hingga 80 tulang; tulang kepingan lutut pula antara 30 hingga 40 tulang manakala tulang anggota pula antara 15 hingga 20 tulang," katanya.

TULANG yang dibekukan pada suhu -80 darjah Celsius.
TULANG yang dibekukan pada suhu -80 darjah Celsius.

Tambahnya, tulang alograf boleh disimpan di dalam peti sejuk beku pada suhu -80 darjah Celsius sehingga lima tahun selepas menjalani proses nyah kuman dan masih selamat untuk digunakan.

"Tulang yang melebihi tempoh simpanan itu perlu dilupuskan untuk menjamin kualiti tulang.

"Proses perolehan dan penyimpanan tulang perlu mengikut garis panduan dan piawaian antarabangsa bagi memastikan proses kerja serta tulang yang dihasilkan adalah berkualiti juga selamat untuk pesakit," katanya.

Untuk rekod, Bank Tulang PPUM sudah membekalkan 650 tulang alograf untuk pesakit di Malaysia sejak ia mula aktif beroperasi pada 1999.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya komplikasi penolakan tulang, Dr Azura menjelaskan risiko berkenaan adalah sangat rendah.

Beliau berkata, terdapat perbezaan di antara pendermaan organ dengan pendermaan tisu termasuk tulang.

"Sepanjang proses pendermaan organ dilakukan, penderma organ disahkan mati otak memerlukan bantuan alat pernafasan untuk terus bernafas supaya ada pengaliran bekalan darah yang berterusan.

TULANG berpenyakit (kiri), tulang gentian (kanan).
TULANG berpenyakit (kiri), tulang gentian (kanan).

"Tetapi penderma tisu seperti tulang, kornea dan injap jantung tidak memerlukan pengaliran bekalan darah.

"Tulang akan dicuci bersih bagi memastikan tiada sisa sumsum dan darah sebelum proses pemindahan tulang. Tujuannya untuk mengelakkan komplikasi penolakan tulang," katanya.

Katanya, pendermaan dan perbankan tisu bukanlah suatu perkara baharu dalam bidang perubatan di Malaysia. tetapi kesedaran dan kepentingannya dalam kalangan masyarakat negara kita masih pada tahap amat rendah.

"Kesedaran mengenai pendermaan tulang juga masih kurang dalam kalangan masyarakat termasuk pengamal perubatan (pakar bedah, doktor perubatan dan doktor pelatih) dan kakitangan sokongan (jururawat dan paramedik).

"Berbanding dengan pendermaan organ, yang organ diderma dan diterima oleh pesakit adalah untuk kesinambungan hidup, pendermaan serta penggunaan tisu adalah lebih kepada meningkatkan kualiti hidup pesakit.

"Berkemungkinan, ia kurang mendapat hebahan meluas berbanding pendermaan dan transplantasi organ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 6:20 AM