ANTHONY Loke pada Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL). FOTO Eizairi Shamsudin.
ANTHONY Loke pada Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL). FOTO Eizairi Shamsudin.
Irwan Shafrizan Ismail


Sepang: Kerajaan akan mengumumkan penambahan penerbangan termasuk ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga tetap untuk penerbangan seperti diumumkan sebelum ini turut dilaksanakan, bersama penambahan penerbangan itu.

Katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) juga sudah membentangkan penambahan penerbangan itu dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

"Mavcom sudah melaporkan kepada kementerian dalam mesyuarat pasca Kabinet semalam, banyak penerbangan tambahan diluluskan.

"Malaysia Airlines juga akan menggunakan pesawat 'wide body' (pesawat lebih besar) untuk penerbangan balik ke Sabah dan Sarawak. Jadi kapasiti penerbangan akan bertambah, kapasiti tempat duduk akan bertambah.

"Apabila kapasiti bertambah, sudah tentu harga purata itu akan menurun. Jadi, itu pendekatan yang kita guna pakai," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa syarikat penerbangan tambang murah sudah mengumumkan kadar tambang rendah sempena Aidilfitri.

AirAsia menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap Balik Raya sempena Hari Raya Aidilfitri antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak bermula 19 April hingga 30 April 2023.

Harga tiket yang ditawarkan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri hanya RM199 sehala manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada RM249 sehala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:29 PM