Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan penalti sebanyak RM4.72 juta ke atas kegagalan syarikat penerbangan mematuhi pelbagai kesalahan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, ia termasuk masalah penundaan penerbangan atau flight delay.

"Mavcom pada 5 Januari lalu sudah mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk memperkukuhkan pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan bertujuan untuk menambah baik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan di dalam MACPC.

"Sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, Mavcom boleh mengenakan penalti kewangan sebanyak amaun yang tidak melebihi RM200,000 dan ketidakpatuhan kedua atau berikutnya, amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama.

"Dari tahun 2018 sehingga Januari 2023, Mavcom mengenakan penalti sebanyak RM4.72 juta ke atas kegagalan syarikat penerbangan dalam mematuhi pelbagai kesalahan di bawah MACPC," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) dalam Sesi Penggulungan Belanjawan 2023, semalam mengenai cara mengatasi masalah penundaan penerbangan dalam syarikat penerbangan.

Selain itu, katanya, syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan atas faktor di bawah kawalan syarikat penerbangan seperti teknikal atau kapasiti penumpang yang tidak memuaskan menyebabkan penerbangan dilewatkan atau dibatalkan adalah tertakluk untuk menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari atau perubahan laluan sepertimana yang diperuntukkan di dalam MACPC.

"Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kod perlindungan pengguna, Mavcom kini dalam proses penambahbaikan MACPC berdasarkan maklum balas pengguna dan juga pengajaran penting yang berlaku semasa pandemik Covid-19.

"Penambahbaikan itu termasuk peningkatan perlindungan pengguna dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum tempoh pandemik ini. Mavcom menganggarkan proses penambahbaikan akan selesai pada suku kedua tahun ini," katanya.

LOKE. FOTO Arkib Bernama
LOKE. FOTO Arkib Bernama

Menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang mahu rancangan jangka panjang Mavcom untuk mengatasi harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi antara semenanjung dan Sabah, terutamanya semasa musim perayaan, Loke berkata, pihak syarikat penerbangan ada melaksanakan inisiatif khas bagi menawarkan tiket penerbangan pada harga yang rendah.

"Sebagai contoh, AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) menyediakan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke enam destinasi, iaitu Kota Kinabalu dan Tawau di Sabah, serta Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak, dari 17 hingga 30 Januari 2023 yang lepas sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"AirAsia juga menyediakan 62 penerbangan tambahan (tambahan 11,400 tempat duduk) pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke tujuh destinasi, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah, serta Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak, dari 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, iaitu pada harga tambang tetap untuk penerbangan daripada Semenanjung ke Sarawak pada harga RM199 dan daripada Semenanjung ke Sabah pada harga RM249.

"Saya difahamkan selepas dua hari dilancarkan, sudah lebih 3,000 tiket sudah dijual, laluan yang amat popular terutamanya di antara Kuala Lumpur ke Tawau dan Kuala Lumpur ke Sandakan sudah hampir habis dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 11:27 AM