Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif (FRHAM) Dr. Kamal Kenny ( dua dari kanan) pada forum meningkatkan kesedaran kesihatan seksual dan psikososial anjuran Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) tadi.
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif (FRHAM) Dr. Kamal Kenny ( dua dari kanan) pada forum meningkatkan kesedaran kesihatan seksual dan psikososial anjuran Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) tadi.
Wan Izzati Amir dan Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Fakta membimbangkan apabila masih ramai masyarakat Malaysia `taboo' dan kurang pengetahuan berhubung bahaya penularan penyakit jangkitan kelamin (STD).

Sikap tidak cakna dan enggan mengambil tahu isu pendidikan seksualiti dan reproduktif antara punca penyakit berbahaya ini tersebar meluas.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif (FRHAM) Dr. Kamal Kenny berkata, STD adalah beberapa jenis penyakit disebabkan oleh aktiviti seksual yang tidak sihat.

Menurutnya, antara penyakit dikenal pasti adalah Chlamydia, Gonorrhea, Human immunodeficiency virus (HIV) Human papillomavirus (HPV), Sifilis, Herpes, Uretritis, Epididimitis, Trichomoniasis, Candidiasis Penyakit radang pelvik (PID) dan beberapa penyakit lain.

"Penyakit ini disebarkan virus, bakteria atau parasit melalui hubungan seks di antara pasangan yang sudah dijangkiti. Ia berjangkit semasa pasangan melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut).

"Mungkin beberapa jenis penyakit ini boleh disembuhkan dan dielakkan dengan pengambilan ubat atau penyuntikan vaksin namun bukan semua boleh dipulihkan," katanya.

Beliau ditemui pada forum meningkatkan kesedaran kesihatan seksual dan psikososial anjuran Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dengan kerjasama Klinik Dr Tan & Partners (DTAP) di sini, tadi.

Dr. Kamal berkata, pendedahan pendidikan seks lebih meluas perlu diberikan kepada masyarakat khusus terhadap remaja bagi mengurangkan penularan STD.

"Program pendedahan isu kesihatan seksual perlu ditingkatkan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dalam menangani isu kesihatan seksual.

"Persepsi masyarakat yang masih belum terbuka membincangkan isu pendidikan seksualiti dan reproduktif menyebabkan STD sukar ditangani sepenuhnya," katanya.

Dr Kamal berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja susulan polisi sekolah dan universiti.

Sementara itu Pengarah Klinik DTAP, Dr. Kaarthing Ganesamoorthy berharap isu STD dimasukkan dalam kurikulum pendidikan bagi meningkatkan kesedaran golongan remaja dan belia.

Menurutnya, langkah itu turut mampu membendung isu kehamilan luar nikah di kalangan golongan muda.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Emjay Communications, Gunaprasath Bupalan berkata, secara keseluruhan stigma berkaitan isu seksual dan reproduktif perlu dihapuskan.

Menurutnya, perkara membimbangkan itu perlu dibincangkan berdasarkan fakta saintifik.

"Kita tidak seharusnya menumpukan golongan muda bagi membendung STD malah kalangan dewasa berusia lebih 30 tahun turut perlu diberikan pengetahuan berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 10:06 PM