Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Pembayar cukai yang mencarum dalam Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 mulai Tahun Taksiran 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, sebelum ini memang kerajaan memberikan potongan cukai kepada mereka yang menyimpan ke dalam SSPN sebagai satu galakan kepada ibu bapa untuk mencarum dalam pendidikan anak-anak.

"Tetapi kemudahan ini sudah disambung beberapa kali dan kali terakhir pada 2021 dan 2022, oleh itu pada 2023 kerajaan memang sudah memberhentikannya.

"Jadi jika menyimpan tahun ini tiada tuntutan potongan cukai pada tahun hadapan.

"Itu keputusan yang dibuat oleh kerajaan atas dasar dan keadaan yang bersesuaian, namun ia bergantung kepada rakyat (pembayar cukai sendiri) untuk melihat semula," katanya kepada media sempena sesi lawatan rasmi ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

"Daripada LHDN apa yang diputuskan di peringkat polisi akan dilaksanakan, tapi kami juga menyampaikan sebenarnya apa yang kami dapat dengar permohonan daripada rakyat kepada pihak kerajaan.

"Ini kerana peranan LHDN juga untuk menyampaikan kepada kerajaan bagi memastikan polisi itu nanti selari dengan nadi rakyat itu sendiri," katanya.

MOHD Nizom ditemui media ketika lawatan ke Media Prima di Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Nizom ditemui media ketika lawatan ke Media Prima di Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 6:12 PM