Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Turki optimis perdagangan dua hala antara republik itu dengan Malaysia akan mencecah AS$5 bilion (RM20.92 bilion) dan secara beransur-ansur mencecah AS$10 bilion (RM41.84 bilion) menjelang 2025.

Duta Republik Turki, Dr Merve SafaKavakci berkata, pertumbuhan perdagangan dua hala itu juga didorong oleh pengembangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua negara yang disasarkan selesai pertengahan tahun ini.

Katanya, lebih membanggakan perdagangan dua hala itu juga berjaya merekodkan peningkatan sebanyak 50 peratus tahun lalu biarpun seluruh dunia berdepan dengan cabaran pandemik.

"Kami melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama kepada Turki dan tahun lalu kita mengakhirinya dengan pencapaian hampir 50 peratus peningkatan dalam perdagangan dua hala iaitu melebihi nilai AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion) walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Malaysia juga menjadi antara rakan dagangan terbaik dalam kalangan negara Asean lain buat Turki dan antara produk yang dieksport ke negara kami termasuk minyak kelapa sawit, aliminium dan sarung tangan perubatan.

"Kami melihat Malaysia bukan sahaja sebagai rakan dagangan terbaik, malah sebagai pintu masuk dan hab perdagangan bagi rantau Asean dan begitu juga melalui Turki, Malaysia dapat menembusi pasaran Timur Tengah, Afrika, Eropah serta Amerika.

"Justeru, kami yakin hubungan perdagangan dua hala ini dapat memberi lebih manfaat termasuk dalam beberapa industri lain seperti pelancongan dan aeroangkasa serta membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan korporat ke Media Prima Berhad hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan, Rafiq Razali dan delegasi daripada kedutaan Turki.

DR Syed Hussian (kanan) mengiringi Dr Merve (dua dari kiri)  ketika     lawatan ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam. - Gambar NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
DR Syed Hussian (kanan) mengiringi Dr Merve (dua dari kiri) ketika lawatan ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam. - Gambar NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Dr Merve berkata, pihaknya berharap kerjasama dengan Malaysia akan terus terjalin dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Mengenai FTA, kami gembira Malaysia sudah mengambil inisiatif mengembangkan lagi perjanjian ini dan untuk makluman FTA antara Turki dan Malaysia sudah terjalin sejak 2014 lagi.

"Kami menyambut baik kunjungan rasmi Datuk Seri Mohamed Azmin ke Turki sebelum ini untuk membincangkan mengenai FTA dan sekarang ia dalam proses teknikal dan dijangka selesai menjelang pertengahan 2022," katanya.

Selain FTA, kedua-dua pihak bersetuju pengaturan perdagangan utama seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh berfungsi sebagai alat pelengkap untuk syarikat Turki melabur dan beroperasi di Malaysia.

Kedua-dua negara juga dijangka memperoleh manfaat daripada keutamaan yang diberikan dalam perjanjian itu apabila mengeksport ke Asean, Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci, ketika mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci, ketika mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:27 PM