Ahmad Zahid beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni Pusat Trangsit Gelandangan Kuala Lumpur di Program Singgah Moreh malam tadi. Foto Aswadi Alias
Ahmad Zahid beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni Pusat Trangsit Gelandangan Kuala Lumpur di Program Singgah Moreh malam tadi. Foto Aswadi Alias
Noor Atiqah Sulaiman

Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat mahupun penderma disaran untuk menyelaraskan agihan bantuan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan ketika Ramadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan kaedah berkenaan sumbangan juadah berbuka atau persiapan menyambut Aidilfitri dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.

"Bulan Ramadan ini kita tahu terlalu banyak yang ingin salurkan bantuan namun ada kalanya sumbangan yang diberikan sama ada waktu sahur, berbuka mahupun moreh adakalanya berlebihan.

"Jadi saya sarankan kepada syarikat atau NGO ini yang mahu menyumbang, kita selaraskan melalui YKN, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Kerana kita mahu supaya sumbangan itu sampai terus kepada golongan sasar yang sebenarnya," katanya dalam ucapan sempena Program Singgah Moreh yang diadakan di Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Beliau berkata, YKN mengalu-alukan syarikat korporat, NGO atau individu untuk bersama yayasan bagi menyumbang wang tunai, barangan atau mengadakan program kerjasama strategik bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Menurutnya, setiap sumbangan tunai akan diberikan resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam pada itu, mengulas mengenai masalah gelandangan di negara ini, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, jumlahnya tidak pernah menurun sejak dahulu lagi namun ia tidak meningkat secara mendadak.

Katanya, disebabkan itu satu pelan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengekang daripada golongan itu terus bertambah di negara ini.

"Kita harus berhati-hati supaya kumpulan ini tidak bertambah setiap hari dan disebabkan itu kita perlu cari jalan untuk selesaikan beberapa faktor yang menyebabkan mereka jadi begini.

"Antara faktor terbesarnya adalah kehilangan pekerjaan, hadapi masalah kesihatan mental dan sakit berpanjangan.

"Oleh itu, tidak boleh lagi bekerja secara silo, sebaliknya akan bekerjasama dengan kementerian dan jabatan lain bagi menyelesaikan masalah itu.

"Kerana ia bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, NGO serta institusi keluarga juga harus bantu kerajaan dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak empat pusat transit dikhaskan untuk golongan gelandangan berkenaan iaitu Anjung Kembara, Anjung Singgah, Anjung Kelana dan Rumah Bimbingan.

"Jumlah keseluruhan penghuni yang sudah dibantu adalah seramai 8,007 orang yang kini ditempatkan di Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan KL dan Anjung Singgah KL.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 8,718 tindakan mengambil orang papa sudah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara, manakala 794 tindakan dilakukan di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 11,239 gelandangan diambil di seluruh negara dengan 2,612 di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:21 AM