GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam dan Nisaa Iryanie Azhar


Gombak: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM30 juta khusus untuk bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada 65,000 penerima yang diagihkan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, bantuan itu diagihkan kepada 18,550 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah agihan zakat RM9 juta, 41,770 ketua keluarga asnaf miskin membabitkan peruntukan RM19.3juta dan dan RM1.6 juta lagi diagihkan kepada 4,499 mualaf.

Menurut Mohd Sabirin, setiap penerima bantuan akan menerima antara RM300 ke RM1,000 bergantung jumlah tanggungan masing-masing.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima atau ketua keluarga atau kaedah V-Cash (baucer tunai) bagi membolehkan penerima mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai (bagi kes tertentu).

"Majlis ini acara tahunan untuk memastikan golongan asnaf dan fakir miskin dapat menjalani ibadah puasa serta menceriakan hari raya mereka.

"Agihan bantuan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini meningkat kira-kira lima peratus berbanding tahun lalu.

"Setinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat yang memberi komitmen dan diharap tahun ini dapat terus menyumbang (membayar zakat) dan jangan tunggu sehingga saat akhir," katanya selepas menyempurnakan Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya di Dewan Kolej Vokasional Gombak, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sabirin, setakat ini, dianggarkan 65,000 asnaf direkodkan di Selangor.

Katanya, bantuan akan diagihkan mengikut daerah dengan peruntukan tertinggi adalah Petaling iaitu RM5.5 juta membabitkan 11,799 penerima.

diikuti Klang (RM5.4 juta), Hulu Langat (RM4.4 juta), Kuala Selangor dan Gombak (RM3.1 juta), Hulu Selangor (RM.2.4 juta), Kuala Langat (RM2.2 juta), Sabak Bernam (RM2.1 juta) dan Sepang (RM1.3 juta).

"Berdasarkan pengamatan kami, daerah Petaling paling banyak penerima dan peruntukan kerana ia kawasan yang besar, menjadi tempat tumpuan perniagaan serta ramai bermastautin di Selangor.

"Justeru, kita akan terus meningkatkan usaha dan motivasi untuk galakkan pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka sebelum berakhir Ramadan.

"Tahun ini, kita menyasar kutipan zakat RM1.2 bilion dan bantuan diberi berdasarkan jumlah berdaftar di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:54 PM