Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah semua ADUN diarahkan menggunakan istilah ‘Pengimbang’ untuk merujuk kepada pembangkang.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah semua ADUN diarahkan menggunakan istilah ‘Pengimbang’ untuk merujuk kepada pembangkang.
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diarahkan menggunakan istilah 'Pengimbang' untuk merujuk kepada pembangkang di negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penggunaan istilah pengimbang itu sejajar dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar Khamis lalu yang menitahkan panggilan pembangkang adalah istilah yang tidak sesuai.

"DUN Johor mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang.

"Sebagaimana istilah pengimbang telah digunakan Machap (Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi) semalam, maka diarahkan semua ahli Yang Berhormat menggunakan istilah pengimbang kerana lebih sesuai, murni dan tepat dan mampu wujudkan DUN yang wibawa," katanya ketika memulakan Persidangan Sidang DUN Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sewaktu merasmikan pembukaan persidangan DUN Johor Khamis lalu, Sultan Ibrahim bertitah gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai.

Baginda bertitah, ini kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata, maka lebih sesuai istilah 'Pengimbang' digunakan berikutan peranan mereka bagi mengimbang dan memeriksa kerajaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu, BN menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dan MUDA satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 10:31 AM