HAMID dilawati Mejar Norasbi di rumahnya di Meranti 3, Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidzir Zakaria
HAMID dilawati Mejar Norasbi di rumahnya di Meranti 3, Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidzir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


KISAH kesunyian bekas tentera yang dilaporkan portal Harian Metro pada 24 Mei lalu mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan.

Warga emas itu, Hamid Taib, 63, berkata, dia terkejut apabila dikunjungi Pengarah JHEV Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Norasbi Said di rumahnya di Meranti 3, Bandar Springhill di Port Dickson, hari ini.

"Memang saya bekas tentera tetapi sudah lama berhenti selepas berkhidmat selama 13 tahun dalam Tentera Darat di Kor Ordnans Diraja.

"Keprihatinan pihak JHEV membuatkan saya rasa amat terharu kerana mereka sanggup menjejaki dan melawat saya selepas kisah saya disiarkan Harian Metro," katanya yang hidup seorang diri sejak berpisah dengan isterinya sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, Norasbi berkata, dia bersama Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Port Dickson, Mejar Masri membuat lawatan berkenaan selepas terbaca kisah veteran disiarkan Harian Metro.

"Lawatan ini bagi memastikan kesahihan berita mengenai bekas perajurit tanah air itu. Kita mahu pastikan bahawa dia sememangnya memerlukan bantuan kerana difahamkan tidak menerima pencen serta hidup sendirian.

"Kami di JHEV berperanan menjaga kebajikan bekas tentera terutama bagi mereka yang tidak berpencen dan hidup dalam kesusahan," katanya ketika ditemui di rumah warga emas itu di Port Dickson, hari ini.

Katanya, JHEV berterima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah anggota tentera berkenaan yang perlukan bantuan.

"Kami sedikit lega kerana dia penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Lawatan ini juga bagi memastikan apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan bebannya," katanya.

Tambahnya, masyarakat setempat boleh membantu bekas anggota tentera seperti Hamid dengan menghubungi mana-mana cawangan JHEV jika ada bekas anggota tentera yang hidup terbiar.

"Kami juga akan menghubungi anak-anaknya dan mungkin kerana masalah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) menyebabkan mereka tidak dapat melawat bapa mereka," katanya.

Harian Metro pada 24 Mei lalu melaporkan, Hamid keseorangan menyambutnya Aidilfitri di rumahnya selepas berpisah dengan isterinya sejak tujuh tahun lalu.

"Hati kecil memang teringat kepada anak dan cucu terutama apabila tibanya Syawal kerana saya ada tiga anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri.

"Mungkin anak saya sibuk dengan urusan mereka kerana tinggal jauh di utara semenanjung sedangkan kita sekarang terikat dengan PKPB," katanya.

Berita berkaitan:

  • Sepi seorang ayah...
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 4:00 PM