KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit kemalangan dengan lori. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit kemalangan dengan lori. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Puspen Karangan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kemalangan kira-kira 8.40 pagi itu membabitkan kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 22 tahun dan lori kargo am dipandu lelaki berusia 43 tahun.

Katanya, pemandu kereta Muhammad Syahmie Irfan Syaharudin, 22, dan penumpang kereta yang identitinya belum dikenal pasti meninggal di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta Proton Wira itu dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang, manakala lori dari arah Mahang menghala ke Sungai Kob.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan selepas melalui selekoh dan melanggar bucu hadapan sebelah kanan lori berkenaan yang sedang bergerak di laluannya.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati kedua-duanya mempunyai cukai jalan yang sah tempoh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 5:09 PM