GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

WANITA sarat mengandung dan dalam perjalanan ke hospital Kulim untuk bersalin antara dua yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di persimpangan lampu isyarat Kulim Hi-Tech dekat Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 6.27 pagi itu Maziah Shaa’ri, 31, dan adik iparnya Muhammad Ghani Abd Razak, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata, kemalangan itu berlaku ketika Maziah dari Taman Mutiara, Sungai Kob di Kulim sedang dalam perjalanan ke Hospital Kulim untuk bersalin dengan ditemani empat anggota keluarga lain.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila Wira dipandu Muhammad Ghani dari arah Sungai Kob ke Kulim dirempuh pada bahagian kanan depan kereta itu oleh Proton Saga yang dipandu wanita berusia 37 tahun dari arah Padang Serai ke Serdang di tengah-tengah persimpangan tersebut.

“Kita percaya salah sebuah kereta tersebut tidak berhenti di persimpangan itu menyebabkan kemalangan berlaku, namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan masih di peringkat awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.​​​​​​​

Ahmad Nasir berkata, akibat kemalangan itu juga anak Maziah yang berusia dua tahun cedera parah manakala tiga lagi mangsa termasuk pemandu Proton Saga itu hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kulim.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:14 PM