ANGGOTA bomba membantu seorang penunggang motosikal yang putus tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kulim Hi Tech, Kulim, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA bomba membantu seorang penunggang motosikal yang putus tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kulim Hi Tech, Kulim, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Azahar Hashim


PENUNGGANG motosikal terpaksa menanggung derita selepas tangan kanannya putus dalam kemalangan di Jalan Kulim Hi Tech, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang juga kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berusia 33 tahun dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob.

Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125 dikatakan gagal mengelak sebuah kereta yang membelok masuk ke sebuah kilang menyebabkan dia terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim Asisten Superintendan Ismail Atan berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki, 43, tidak menyedari mangsa menunggang motosikal ke arah Lebuhraya Perdana.

“Akibatnya, motosikal mangsa gagal mengelak dan melanggar bahagian hadapan kereta sebelum dia terbabas ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang sehingga tercampak ke dalam longkang.

“Tangan kanan mangsa dipercayai terkena besi penghadang jalan dan terputus sehingga ke paras siku menyebabkan dia mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu mengeluarlan mangsa sebelum dia dikejarkan ke Hospital Kulim bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Tangan kanan mangsa yang putus ditemui di tepi jalan berdekatan, dan mangsa dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi membolehkan pembedahan menyambung semula tangannya dilakukan.

“Kes disiasat memgikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja am dikenali sebagai Hanif, 41, berkata ketika kejadian dia berada di seberang jalan kerana melakukan kerja penyelenggaraan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan sebuah kilang.

Katanya, dia kemudian berlari ke arah bunyi terbabit sebelum melihat beberapa pengguna jalan raya melihat ke dalam longkang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian saya nampak seorang lelaki dalam keadaan terduduk menyandar pada dinding longkang dalam keadaan tangannya berlumuran darah.

“Orang awam turun ke dalam longkang bagi membantu mangsa sementara menunggu pasukan penyelamat tiba, dan mereka turut memaklumkan sebahagian tangan yang putus berada di tepi longkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 6:33 PM