KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas bertembung dengan bas kilang Jalan Kulim-Mahang berhampiran Ladang Dublin, Kulim, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas bertembung dengan bas kilang Jalan Kulim-Mahang berhampiran Ladang Dublin, Kulim, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Azahar Hashim


KAKITANGAN Klinik Kesihatan Mahang maut selepas Proton Saga dipandunya bertembung dengan bas kilang di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Ladang Dublin, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.30 pagi, mangsa Mohd Rozaidi Salleh, 27, berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta dari arah Kulim ke Mahang, manakala bas kilang yang membawa beberapa pekerja dari arah bertentangan.

“Siasatan juga mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas terbabit.

“Akibat pertembungan itu, kereta yang dipandu mangsa remuk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga, manakala pemandu bas dan penumpang tidak cedera,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.43 pagi sebelum sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS bersama lapan anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu sebelum anggota bomba mengunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:54 PM