PHAHROLRAZI Mohd Zawawi. FOTO arkib NSTP
PHAHROLRAZI Mohd Zawawi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menganggap tindakan pucuk pimpinan memecat beliau daripada parti itu semalam adalah satu keputusan yang tidak adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu itu mendakwa keputusan mengenai memboikot pilihan raya sekiranya kerusi Parlimen Jerai tidak diberikan kepada Amanah dibuat dalam mesyuarat perhubungan Amanah negeri dan bukannya keputusan perseorangan.

"Sepatutnya mereka memecat semua jawatankuasa perhubungan, itu baru adil, mereka tidak boleh memecat saya seorang kerana keputusan ini adalah keputusan dua kali mesyuarat jawatankuasa Amanah negeri, bila tindakan kepada saya saja ia tidak adil.

"Saya merasakan prinsip rahmatan lilalamin sudah tidak berlaku dalam Amanah kerana sepatutnya melalui satu proses mereka perlu menjemput saya, menghadapi pimpinan, ataupun diberi surat notis dulu untuk beri sebab dan sebagainya tetapi dengan pembentangan dalam mesyuarat sudah buat keputusan memecat saya," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Phahrolrazi tidak hadir pada majlis diadakan di Sungai Petani malam kelmarin, sebagai tanda protes, sebelum beliau diumumkan dipecat keahlian parti oleh Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli semalam.

Pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah yang bermesyuarat kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, pemecatan beliau dilakukan pada masa yang tidak sesuai dan ia merugikan Amanah serta PH untuk cemerlang pada PRU-15.

Ketika ditanya adakah pihak beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemecatan beliau, Phahrolrazi berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara itu terlebih dulu bersama ahli Amanah yang lain berikutan penyertaan beliau dalam parti itu sebelum ini adalah secara berkumpulan.

Katanya, pemecatan beliau dibuat menggunakan peruntukkan yang baharu diluluskan tanpa perlu dibawa ke Lembaga Disiplin dan melalui proses yang panjang.

"Oleh kerana saya kini sudah dipecat jadi saya jadi Adun bebas, saya fikir Adun-Adun pembangkang akan bermesyuarat melantik ketua pembangkang yang baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 4:06 PM