GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan tahun ini namun belum berhasrat menoktahkan pelaksanaannya semula.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengesahkan GST akan membantu kerajaan meningkatkan pendapatan, sekali gus membolehkan lebih banyak usaha membantu rakyat khususnya membasmi kemiskinan tegar.

Katanya, buat masa ini kerajaan masih mengkaji dan meneliti mengenai tempoh yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST.

"Jika kita lihat terdapat 174 negara melaksanakan GST, tak kan 174 negara itu silap membuat keputusan, bukan 20 negara saja buat GST.

"GST boleh membantu (kerajaan mendapat) pendapatan yang lebih, dengan pendapatan yang lebih itu kita boleh membantu rakyat yang susah.

"Jika ada GST, kita boleh menoktahkan kemiskinan. Bukan hanya (kategori) had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,109 boleh dinoktahkan, tapi juga yang berpendapatan RM2,208 ke bawah boleh dinoktahkan jika kita mempunyai kewangan yang banyak," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH - Jelutong) sama ada pelaksanaan semula GST pada bila-bila akan memberi kesan kepada rakyat terutamanya golongan B40.

Ahmad berkata, GST boleh jadi cukai yang progresif jika mengenakan kadar sifar kepada barangan yang digunakan golongan B40.

"Bagaimanapun, kta masih lagi mengkaji, menilai bilakah masa yang sesuai.

"Kita masih lagi tidak menoktahkan GST ini. Setakat itu yang saya boleh nyatakan, cuma pada tahun ini ia tidak akan dilaksanakan," katanya.

Ahmad berkata, perbezaan pelaksanaan GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sangat ketara yang terpaksa ditampung kerajaan.

"SST dikutip pada 2019 berjumlah RM27 bilion, 2020 pula RM26 bilion, RM25 bilion (2021), bayangkan cukai bersih daripada GST pula RM44 bilion yang paling tinggi, cukai purata daripada SST lebih kurang RM25 bilion.

"Jadi banyak (beza) angka itu, kalau dilaksanakan GST pada saat dan ketika ini mungkin (angka) 44 dah jadi 50…," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:53 PM