Ahmad Ismail

Segamat: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang menangguhkan sesi persekolahan 2023/2024 di 17 sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pelajar di sekolah terjejas mungkin akan diberi pilihan belajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kerosakan sekolah tidak dapat dipulihkan sebelum cuti sekolah berakhir dua minggu lagi.

"Kita sedaya upaya fokus untuk memulihkan sekolah yang terjejas dahulu kerana pada masa sama tidak akan menangguhkan sesi persekolahan yang bakal bermula dua minggu lagi.

"Kita akan bagi pilihan PdPR supaya proses persekolahan tetap berlangsung sekiranya 17 sekolah terjejas termasuk 14 sekolah di daerah Segamat dapat dibersihkan segera," katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Bali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, di sini hari ini.

FADHLINA (kanan) melihat peralatan rosak akibat bah di SK Seri Bali di Chaah. FOTO Ahmad Ismail
FADHLINA (kanan) melihat peralatan rosak akibat bah di SK Seri Bali di Chaah. FOTO Ahmad Ismail

Hadir sama Adun Bekok Tan Chong dan Pegawai Pendidikan Segamat, Abd Rahman Kecik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika PdPR terpaksa dilaksanakan di PPS, KPM akan memastikan pusat itu mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk sesi persekolahan itu.

"Kita akan lihat semasa ke semasa, tapi biasanya jika ada ruang yang sesuai (di PPS) mereka boleh terus belajar melalui kaedah itu di PPS.

"Untuk pelajar yang pakaian seragam sekolah mereka rosak akibat banjir, mereka boleh hadir ke sekolah dengan apa sahaja pakaian yang bersesuaian asalkan hadir memulakan persekolahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 1:28 PM