GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Pelajar yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri serta mereka yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan untuk hadir pada sesi baru minggu depan tanpa perlu memakai pakaian seragam sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak mahu ibu bapa terbeban dengan mewajibkan mereka untuk membeli pakaian seragam anak kerana mereka pun terkesan dengan bencana itu.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar.

Katanya, apabila berlakunya bencana seperti banjir, KPM akan mengambil pendekatan supaya mereka yang terjejas khususnya anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan.

"Ibu bapa tidak perlu risau berkenaan persiapan pihak sekolah terutamanya membabitkan buku teks yang musnah akibat banjir kerana KPM akan bantu dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"Bagi PPS yang masih dibuka di sekolah, kelas juga akan diadakan di sekitar ruangan itu meskipun pelajar tidak memakai baju uniform sekolah.

"Anak-anak tidak boleh ketinggalan pelajaran kerana isu baju saja, dengan menambah tarikh buka sekolah masih dikekalkan termasuk kawasan yang terjejas akibat banjir," katanya dalam satu siaran radio tempatan hari ini.

Sementara itu, Fadhlina turut memaklumkan bahawa KPM sudah pun mengeluarkan surat arahan umum kepada semua institusi pendidikan untuk tidak mengadakan sebarang kelas akademik pada minggu pertama persekolahan.

Beliau berkata, arahan itu pertama kali dikeluarkan bagi meningkatkan interaksi dan suai kenal antara guru dan pelajar pada minggu pertama persekolahan.

Katanya, ia selaras dengan pendekatan KPM iaitu konsep 'anak baik dan cerdik' selain mengelakkan tekanan dalam kalangan pelajar pada awal sesi persekolahan.

"Pada minggu pertama, kita menggalakkan guru untuk tingkatkan nilai murni serta membiasakan pelajar dengan suasana pembelajaran yang baik.

"Selain itu, kita juga beri ruang kepada ibu bapa, penjaga dan komuniti untuk temankan anak di sekolah pada minggu pertama terutamanya pada hari pertama sekolah dibuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 10:52 AM