MUHAMMAD Fahmi dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
MUHAMMAD Fahmi dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
Hamzah Osman


Langkawi: Penuntut Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, dari Langgar, Kedah yang sedang mandi di pantai itu disedari hilang oleh rakan-rakannya kira-kira 7 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 7.20 malam.

"Siasatan mendapati mangsa dan beberapa rakan sedang berenang di pantai sebelum lemas dan cuba diselamatkan rakan-rakannya serta pelancong yang berada berhampiran.

"Namun, usaha mereka gagal kerana arus kuat," katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, mangsa adalah penuntut Kejuruteraan Penerbangan di UniKL MIAT, Jenderam Hulu, Selangor.

"Difahamkan mangsa baharu dua minggu datang ke pulau ini bagi menjalani latihan amali.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 57 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

Katanya, operasi SAR disambung pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 8:00 AM