LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Wanita Pakatan Harapan (PH) menggesa agar semua ahli parlimen negara ini tanpa mengira parti politik dan jantina menyokong pindaan perlembagaan dalam memberi hak kerakyatan kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu berkata, pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua per tiga ahli parlimen di Dewan Rakyat.

"Pindaan ini membawa makna dan semangat yang sangat besar untuk menjamin kesejahteraan hidup wanita dan kanak-kanak Malaysia khususnya yang telah sekian lama 'ditangguhkan' akibat kurangnya iltizam politik dan keberanian kepimpinan politik sebelumnya," katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin

dengan pasangan bukan warganegara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri itu setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1) (d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah, keputusan ini adalah manifestasi komitmen dan keberanian kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang terbabit dalam memperjuangkan hak wanita Malaysia.

"Tahniah juga kepada Family Frontiers Malaysia dan semua pergerakan wanita di seluruh negara," katanya.

Katanya, Wanita PH akan sentiasa komited bagi memastikan kerajaan perpaduan yang ada akan terus memberikan tumpuan bagi menyingkirkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 5:52 PM