Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara hari ini.
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara hari ini.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu berkaitan kewarganegaraan secara menyeluruh daripada pelbagai aspek.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu yang akan diberi fokus termasuk kes tertangguh, kanak-kanak dilahirkan di luar negara dan wanita tempatan berkahwin dengan lelaki warga asing.

"Saya akan memastikan proses permohonan kewarganegaraan dipermudah secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan negara," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Jabatan Pendaftaran Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan akan memulakan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu adalah bagi membolehkan kanak-kanak terbabit mendapat kewarganegaraan Malaysia sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

"Saya sahkan hal yang diumumkan oleh Azalina dan jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan memberi sepenuh fokus kepada isu-isu kewarganegaraan ini nanti," katanya.

Saifuddin Nasution berkata kertas kerja yang dihasilkan oleh jawatankuasa khas itu akan dibentang kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya bulan hadapan.

Beliau juga berkata kebenaran yang diperoleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan, tidak mengganggu komitmen kerajaan untuk meminda Perlembagaan berhubung perkara itu.

Saifuddin Nasution berkata kes itu akan diteruskan dengan memastikan ia melalui proses perundangan yang betul.

"Sementara kes ini dibicara di Mahkamah Persekutuan, ia tidak menghalang kerajaan untuk melihat pindaan Perlembagaan dalam isu kewarganegaraan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 5:12 PM