Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh Muhammad Eizhan Shah Abdullah, 19, membuat pengakuan sejurus dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan dengan cara menyentuh anggota sulit mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dia juga dituduh mengikut Seksyen 376(2),Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga dikenakan sebatan atas dakwaan merogol remaja sama.

Kesalahan itu dilakukan di bilik stor motor lif, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka Tengah pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 10 malam.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri membantah jaminan diberikan, namun mencadangkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh jika jaminan diberikan

Peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun adalah penanggung tunggal keluarga.

Katanya, tertuduh sebelum ini bekerja sebagai pembantu di kedai peralatan logam, namun diberhentikan sejak ditahan polis pada awal bulan lalu.

Hakim Elesabet kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:46 PM