FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak teman wanitanya.

Mohd Shaiful Azrul Mohammed Ullah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas empat pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berbeza.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah dalam bilik air sebuah rumah di Ampang, pada jam 12 tengah hari pada pertengahan April tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohd Shaiful Azrul juga didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh bahagian badan remaja itu di tempat yang sama pada jam 1 pagi, antara penghujung November 2017 hingga April 2018.

Selain itu tertuduh juga didakwa melakukan seks luar tabii terhadap remaja yang sama di tempat yang sama pada jam 1 pagi, awal April 2018.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh bahagian badan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun enam bulan di sebuah rumah di Ampang, pada jam 12 tengah hari pada Februari hingga April tahun lalu.

Bagi kesalahan melakukan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azrul Darus.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dan Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.

Menurut mereka kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan lelaki itu mempunyai potensi untuk mengganggu mangsa.

Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, ketika ditanya sama ada tertuduh mahu merayu berhubung jaminan, lelaki itu hanya memohon untuk berjumpa anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:30 PM