FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Amir Mamat


Ayer Keroh: Jurutera kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan rogol dan amang seksual bukan fizikal terhadap anak kandungnya sejak pertengahan Jun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun yang juga bapa kepada lima anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 276 (B)/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol dan cubaan merogol ke atas anak sulungnya berusia 13 tahun yang mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan mengikut mana-mana hukum agama atau adat untuk berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama pada pertengahan Jun lalu pada 1 tengah hari dan kesalahan kedua pula pada awal Julai lalu pada 12.05 tengah malam di Taman Limbongan Permai.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun selain tidak kurang 10 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, kerana melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video lucah kepada mangsa pada pertengahan Jun lalu, pada 1 tengah hari di lokasi sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau keduanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh dan sekiranya mahkamah menawarkan jaminan perlu dikenakan jumlah tinggi atau RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan.

Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Nor Farah Amirah Mohd Azlan memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dengan RM15,000 setiap pertuduhan.

Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 5:21 PM