Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Anggota tentera berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia 11 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan kepadanya pada prosiding di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa merogol anak saudara perempuannya tanpa kerelaan di sebuah rumah di Semabok pada 29 Disember 2021, jam 12 tengah hari.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat sama pada 28 Disember 2021 kira-kira jam 11 malam.

Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh menanggung dua anak bersekolah berusia 14 dan 11 tahun selain isteri dan ibu bapa yang sudah tua.

Katanya, tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 hingga RM2,100 selain tidak membantah syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Hakim Mohd Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon oleh pendakwaan termasuk tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 4:49 PM