Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penyelia syarikat keselamatan berhadapan hukuman mati di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin berat kasar 1.4 kilogram, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amali Masturo, 36, selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin anggaran berat 1,424.45 gram di tepi Jalan T-U 60, Taman Tasik Utama berhadapan Pangsapuri Sri Utama, Ayer Keroh, Melaka pada jam 9 malam, 2 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.

Tarikh 14 Mac depan ditetap sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah dan tiada jaminan dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 1:13 PM