SYAM Abdul Wahab, 43. (kanan). FOTO Mahaizura Abd Malik
SYAM Abdul Wahab, 43. (kanan). FOTO Mahaizura Abd Malik
ABDUL Hashim Daud. FOTO Mahaizura Abd Malik
ABDUL Hashim Daud. FOTO Mahaizura Abd Malik
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Harga sayuran yang meningkat sekali ganda terutama selepas Tahun Baharu Cina berlaku disebabkan bekalan yang berkurangan.

Peniaga sayur, Abdul Hashim Daud, 46, berkata, kenaikan harga itu berlaku bagi kebanyakan sayuran tempatan terutama dari Cameron Highlands berbanding bekalan dari Thailand.

"Antara sayur ketara naik harga ialah timun yang sekarang satu kilogram (kg) mencecah RM7 berbanding dulu hanya RM3, tomato RM8 (RM4), sawi RM6 ke RM7 (RM3), bayam RM6 (RM3), kangkung RM4 (RM1 ke RM2) serta labu RM5 (RM2).

"Pembekal memberikan alasan kenaikan disebabkan bekalan berkurangan jadi peniaga kecil macam kami ini terpaksa ambil juga walaupun harga naik.

"Walaupun kami terpaksa naikkan sedikit mungkin dalam RM1 untuk setiap sayur kepada pembeli, namun hanya cukup-cukup lepas modal saja," katanya ketika ditemui di Pasar Harian Selayang, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan seharusnya mengawal semua rantaian terutama pembekal kerana golongan itu yang mengawal harga pasaran.

"Suruh kami jual murah sedangkan kami ambil daripada pembekal pun dengan harga memang sudah mahal. Jadi macam mana hendak hidup?

"Sayur kalau tak laku lama-lama rosak, jadi mahu tak mahu kami terpaksa turunkan harga untuk melariskan cepat jualan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Syam Abdul Wahab, 43, berkata, harga sayur mengalami kenaikan dan penurunan tidak menentu sejak sebelum Tahun Baharu Cina lagi.

"Kalau bekalan kurang atau kenaikan barangan tertentu seperti baja, biasanya kami akan dapat harga mahal daripada pembekal.

"Contohnya batang keladi satu ikat dulu RM13 hingga RM14 sekarang kita dapat daripada pembekal RM15 serai pun sama RM60 berbanding RM55 sebelum ini selain daun limau purut RM12 dulu RM10 serta daun kari naik RM18 (RM14 hingga RM15).

"Ada juga kalau bekalan banyak macam pengaga turun kepada RM12 berbanding RM25 satu kg pada sebulan lalu begitu juga dengan daun kunyit," katanya.

Katanya, dia akan menaikkan harga jualan jika keadaan mendesak sekiranya memperoleh bekalan pada harga mahal daripada pembekal.

"Bukan semua kita naikkan harga. Tengok pada jenis sayur juga kalau dapat dari pembekal betul-betul mahal saya naikkan antara 50 sen ke RM1 saja buat lepas balik modal pun memadai.

"Ada juga saya kekalkan harga lama contohnya daun pisang dulu dapat dari pembekal cuma RM2.20 sekarang RM2.50 tetapi saya masih jual harga sama kepada pembeli," katanya.

Sementara itu peniaga makanan panas di bangunan pasar itu, Hanim Rahim, 65, berkata, pengguna sepertinya yang membeli dalam kuantiti banyak memang terasa kesan dengan kenaikan harga barangan basah yang berlaku pada masa ini.

"Contohnya timun naik RM7 satu kg berbanding dulu cuma RM2.50 ke RM3 saja serta cili kering sebelum ini memang naik antara RM25, RM27 dan RM29 satu kg sekarang naik lagi RM32 satu kg.

"Sawi, kangkung, bayam, ikan, udang dan sotong pun sama naik tetapi saya malas hendak kira lagi kadang memang tak untung dan tak lepas balik modal pun tapi kita cuba bertahan asalkan dapat bayar sewa kedai dan bil api air serta komitmen dan perbelanjaan harian.

"Sebagai pengguna saya pun faham keadaan peniaga kerana kenaikan harga barang ini memang sudah ditetapkan pembekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 12:14 PM