Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penularan kes demam babi Afrika atau African swine fever (ASF) di negeri ini terus menunjukkan peningkatan dengan tiga lagi ladang komersial di daerah Barat Daya merekodkan jangkitan terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan ladang terkesan wabak itu di negeri ini kepada 27 setakat ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, setakat semalam penyakit itu melanda 18 ladang di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya (3) dengan jumlah keseluruhan babi dijangkiti sebanyak 62,197 ekor.

"Pergerakan babi melalui pengangkutan dengan kadang-kadang pemborong menggunakan lori yang sama untuk menghantar babi yang diambil dari ladang ke rumah sembelihan, jadi ini satu cara ia merebak apabila lori tidak disanitasi dengan betul.

"Ketika ini penternak dari ladang-ladang yang disahkan selamat masih dibenarkan menghantar ternakan mereka ke rumah sembelihan namun pergerakan babi hidup merentas negeri adalah dilarang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kon Yeow memaklumkan setakat semalam sebanyak 11,943 ekor babi dimusnahkan dari ladang positif dikenal pasti dengan kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit itu.

Beliau berkata, sekiranya ladang babi komersial yang disahkan dijangkiti ASF mempunyai keluasan tanah mencukupi bangkai babi boleh dilupuskan di kawasan ladang masing-masing.

Katanya, bangkai babi yang dilupuskan ditanam di kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan di kawasan yang diperuntukkan di SPS bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang ramai.

Beliau mendedahkan kes jangkitan wabak ASF setakat ini dilihat berlaku di ladang yang berada berdekatan antara satu sama lain dengan ladang yang terletak di lokasi berjauhan didapati bebas daripada penyakit itu.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:35 PM