Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Operasi memusnahkan 1,500 babi di sebuah ladang ternakan di Seberang Perai Selatan (SPS) yang dijangkiti wabak demam babi Afrika ASF) selesai dilaksanakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata kes jangkitan ASF kedua membabitkan sebuah lagi ladang ternakan babi di Kampung Valdor, SPS masih berada dalam peringkat pemantauan.

Katanya, bagi kandang kedua masih dalam peringkat pemantauan dan bilangan kematian tidak begitu tinggi.

"Kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sama ada kesemua babi di ladang itu perlu dimusnahkan dan jika perlu kita akan lakukan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar (tengah) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini. FOTO Aminah Yusof
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar (tengah) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini. FOTO Aminah Yusof

Mohd Sayuthi turut memaklumkan ladang kedua itu mempunyai 2,500 babi iaitu jumlah lebih tinggi berbanding ladang pertama yang dijangkiti ASF sebelum ini.

Beliau berkata, JPV negeri sentiasa memantau perkembangan kes-kes ASF berkenaan supaya tindakan pantas dapat diambil bagi mengawal jangkitan wabak berkenaan.

"Ketika ini kes ASF masih terkawal dan kita kendalikan pada peringkat daerah kerana hanya membabitkan SPS sahaja buat masa ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata tiada jangkitan baharu dilaporkan dengan kes terkumpul positif ASF kekal sebanyak dua kes setakat ini.

Beliau berkata kematian babi yang dijangkiti ASF berlaku sekitar 10 hingga 20 ekor dalam satu-satu masa dan kerja-kerja pelupusan dilakukan.

Kon Yeow ketika ditanya sama ada ladang babi terbabit beroperasi tanpa lesen berkata fokus utama ketika ini ialah memastikan wabak ASF itu tidak merebak ke kandang-kandang babi lain di negeri ini.

"Sekarang (penternakan babi) dilakukan di ladang tertutup ada yang sudah berlesen dan ada masih dalam proses pematuhan pada peringkat ini sama ada berlesen atau tidak semua kes jangkitan perlu diuruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:10 PM