GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang kerani wanita terlepas hukuman gantung apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan memiliki dan mengedar dadah seberat lebih 500 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Siti Aisah Noordin, 34, pada peringkat akhir kes pendakwaan.

"Saya meneliti keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan mendapati bahawa kegagalan mereka untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi walaupun ditangkap bersama menyebabkan satu kelompangan dalam kes ini.

"Saya juga mengambil kira keterangan saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan. Dengan ini tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan. Semua eksibit dipulangkan kepada polis," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala Siti Aisah diwakili peguam, Maanveer Singh.

Mengikut satu pertuduhan, wanita itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa kepada hukuman mati.

Bagi enam pertuduhan lain, tertuduh didakwa memiliki ketamin seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), Nimetazepam (1.1 gram), Methamphetamine (16.86 gram) dan Clozapine (90.98 gram).

Pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan kali.

Selain itu, pendakwaan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan dilakukan di kondominium di Jalan Ipoh, Batu 5 Taman Mastiara, Sentul, 20 April 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 1:37 PM