DR Wan Azizah (tengah) beramah mesra dengan penghuni Anjung Kasih, Salmah Angau, 50, (kanan) dariCameron Highland ketika melawat serta merasmikan  Anjung Kasih di Hospital Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
DR Wan Azizah (tengah) beramah mesra dengan penghuni Anjung Kasih, Salmah Angau, 50, (kanan) dariCameron Highland ketika melawat serta merasmikan Anjung Kasih di Hospital Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan


SERAMAI 62, 551 penghuni sudah menerima manfaat daripada pembinaan projek Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang bermula sejak 2006 untuk keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana kerajaan mengambil berat terhadap keperluan golongan yang memerlukan terutamanya kelompok B40 bagi menggunakan kemudahan itu.

Beliau berkata, lima lagi Anjung Kasih YKN akan dibuka di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi memberi kemudahan penginapan percuma kepada waris pesakit yang menerima rawatan di hospital

“Satu daripadanya iaitu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis sudah siap dibina dan akan diserahkan serta dibuka pada bila-bila masa.

“Empat lagi yang dirancang dibina dan dijangka siap tahun ini adalah di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Duchess of Kent Sandakan (Sabah) dan Hospital Melaka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berucap ketika merasmikan Anjung Kasih YKN Hospital Pulau Pinang, hari ini.

Pembinaan 10 Anjung Kasih di seluruh negara adalah inisiatif YKN bersama Kementerian Kesihatan.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dan komited terhadap keperluan rakyat apabila RM 6.9 juta diperuntukkan bagi pembinaan Anjung Kasih secara berperingkat, selain RM 1.6 Juta daripada tajaan syarikat korporat.

Bagi Anjung Kasih di Pulau Pinang, sehingga hari ini 103 penghuni sudah menerima manfaat sejak Ia beroperasi 9 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 3:19 PM