NORPALIZAH menunjukkan keadaan tangan Muhammad Afiq Daniel yang digigit anjing liar. FOTO Mohd Khidir zakaria
NORPALIZAH menunjukkan keadaan tangan Muhammad Afiq Daniel yang digigit anjing liar. FOTO Mohd Khidir zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kanak-kanak berusia 11 tahun cedera parah di tangan kanannya selepas digigit anjing liar di Taman Sri Aman, Lukut baru-baru ini.

Menurut ibu mangsa, Norpazilah Abu Kassim, 50, kejadian berlaku pada jam 6.45 petang 19 Januari lalu.

"Ketika itu anak saya, Muhammad Afiq Daniel Abdullah sedang bermain tidak jauh dari rumah.

"Saya dimaklumkan kawannya yang mengatakan Muhammad Afiq cedera parah digigit anjing ketika sedang bermain di rumah rakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, tanpa berlengah dia membawa anaknya ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan.

"Tangan kanan anak terkoyak dan terpaksa menerima rawatan berupa suntikan vaksin sebelum menerima 28 jahitan.

"Sebagai ibu saya amat bimbang jika ada jangkitan virus anjing gila dan amat kesal kejadian ini hingga terpaksa cuti sekolah hingga hampir sebulan," katanya.

Norpazilah berkata, laporan polis sudah dibuat pada 21 Januari lalu dan berharap ada tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Di kawasan ini memang banyak anjing liar atau yang bertuan tetapi dibiarkan bebas hingga menakutkan orang ramai terutama kanak-kanak.

"Saya berharap PBT segera mengambil tindakan menangkap anjing liar yang membahayakan orang ramai terutama kanak-kanak atau wanita jika tidak diambil tindakan segera," katanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan urat saraf di jari telunjuk Muhammad Afiq putus akibat gigitan anjing.

"Saya akan terus memantau perkembangan Muhammad Afiq kerana bimbang penyakit anjing gila walaupun sudah diberi suntikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:18 PM