Rabaah (kanan) bersama sepupunya ketika menunggu untuk keluar dari wad Hospital Kuala Lumpur. Foto ihsan Azizah Husin
Rabaah (kanan) bersama sepupunya ketika menunggu untuk keluar dari wad Hospital Kuala Lumpur. Foto ihsan Azizah Husin
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 19 Januari lalu ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, sudah ditemukan di Kuala Lumpur dan dimaklumkan kepada keluarganya 13 Februari lalu.

Ibunya Azizah Husin, 56, berkata, anak tunggalnya, Rabaah Laily, 33 yang juga OKU pekak dan bisu ditemukan orang ramai pada 31 Januari lalu merayau-rayau tanpa hala di ibu kota, namun dia hanya dimaklumkan penemuan itu minggu lalu.

Katanya, kesihatan anaknya itu itu juga stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Rabaah diserahkan kepada polis kemudian dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disebabkan keadaan kesihatannya ketika itu tidak stabil menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat peribadi daripadanya.

"Ia berikutan anak saya itu menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi selain pesakit psikiatri dan kesihatannya terjejas selepas tidak mengambil ubat sebaik hilang dari rumah.

"Apabila keadaan kesihatannya semakin baik selepas dirawat selama dua minggu, dia kemudian dapat menulis nama dan maklumat diri sebelum pihak berkaitan membuat semakan dan menghubungi saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia berkata, anaknya kemungkinan menaiki bas ke Kuala Lumpur dan percaya dalam tempoh berkenaan ada yang bersimpati menghulurkan makanan kepada anaknya itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani dilaporkan menerima laporan berhubung kehilangan anak pada 20 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 10:48 AM