Hazira Ahmad Zaidi

Machang: "Along (panggilan anak sulung) sempat memeluk dan mencium adik-adiknya yang tidur malam Ahad lalu sebelum bertolak balik ke Machang," kata ibu mangsa, Rosliza Mat Yusoff, 46.

Rosliza memberi reaksi itu ketika menceritakan saat akhir bersama anaknya, Muhammad Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, yang dikhuatiri lemas di di Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir Hj Pa di Paloh Rawa dekat sini.

Malam tadi, bot pancung dinaiki Muhammad Hisyamuddin bersama bapa saudara serta rakannya terbalik ketika dalam perjalanan pulang dari memukat ikan di sungai itu.

Rosliza mengakui terkejut sebaik menerima panggilan telefon daripada adik iparnya, Che Abdullah Che Ahmad, 43, berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu, sekitar 12.35 tengah malam di rumahnya di Kampung Manek Urai, Kuala Krai.

"Dalam keadaan tergesa-gesa, saya mengejutkan suami (Che Zulkifly Che Ahmad) dan anak lain yang sedang tidur sebelum kami sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya bagaikan bermimpi dan tidak percaya dengan kejadian menimpa Along," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Difahamkan, ketika jam 8.45 malam tadi, Muhammad Hisyamuddin disedari hilang selepas bot yang dipandunya tenggelam manakala bapa saudaranya, Mohd Subry Che Ahmad, 39, dan rakannya Muhamad Riduan Hatta, 23, berjaya berenang ke tebing.

Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini, namun berhadapan kesukaran disebabkan arus sungai yang deras dan cuaca tidak menentu.

ROSLIZA menunjukkan gambar Muhammad Hisyamuddin yang dilaporkan hilang selepas bot pancung dinaiki bersama bapa saudara serta rakan karam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROSLIZA menunjukkan gambar Muhammad Hisyamuddin yang dilaporkan hilang selepas bot pancung dinaiki bersama bapa saudara serta rakan karam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:10 PM