Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Kota Tinggi: Bot pancung yang karam di perairan Tanjung Balau, di sini, sehingga menyebabkan 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) lemas, manakala 25 lagi masih hilang, dipercayai dari Lombok, Indonesia.

Bagaimanapun mereka dipercayai berhenti transit di Batam selepas bertolak dari Lombok, bagi menaiki sebuah bot pancung berkelajuan tinggi dari situ, bagi memasuki perairan Johor.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, bot pancung laju itu biasanya hanya mengambil masa 15 minit dari Batam sebelum tiba ke perairan Johor Timur di Kota Tinggi.

"Berdasarkan kes sebelum ini, kita percaya bot pancung berkenaan memasuki perairan negara kita kira-kira jam 1 pagi tadi dalam keadaan cuaca buruk.

"Ia berikutan sudah seminggu keadaan cuaca di perairan Johor Timur dilaporkan buruk dengan ombak bergelora dan tinggi selain hujan lebat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Rejimen ke-7 Artileri Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Mohamed Ridzal Radzuan.

Simon berkata, berdasarkan maklumat awal hasil soal siasat terhadap 14 mangsa terselamat memaklumkan mereka belayar menaiki bot dari Lombok, Indonesia sebelum dipercayai berhenti transit di Batam untuk bertukar bot.

"Mengikut kes sebelum ini, setiap Pati dilaporkan membayar antara antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk menaiki bot pancung untuk masuk atau keluar dari Malaysia.

"Ini adalah kes pertama membabitkan kemasukan Pati dari Lombok di kawasan Johor Timur kerana kebiasaannya kemasukan membabitkan Pati yang tinggal sekitar dari Kepulauan Batam sahaja," katanya.

Mohd Shahril dan sukarelawan lain membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas. FOTO ihsan MOHD SHAHRIL MUSTAFA.
Mohd Shahril dan sukarelawan lain membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas. FOTO ihsan MOHD SHAHRIL MUSTAFA.

Terdahulu, 14 Pati disahkan selamat, 11 maut, manakala 25 masih hilang dalam kejadian bot pancung karam dibadai ombak dalam kejadian di perairan Tanjung Balau, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu bot pancung terbabit dipercayai karam akibat dibadai ombak akibat cuaca buruk.

Beliau dilaporkan berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar memaklumkan menerima maklumat daripada pihak Markas Taktikal Tanjung Sepang mengenai penemuan bot itu bersama Pati di pantai Tanjung Balau.

Dalam pada itu, Simon berkata, pihak berkuasa belum melakukan siasatan lanjut berikutan kesemua mangsa bukan sahaja masih trauma malah perlu dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

"Untuk maklumat lebih terperinci, siasatan lanjut perlu dilakukan, namun ia masih belum dapat dilakukan kerana pihak berkuasa perlu mengendalikan semua mangsa terselamat mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

"Empat belas mangsa yang terselamat berusia antara 20 hingga 50 tahun membabitkan 12 lelaki dan dua wanita manakala yang maut membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita," katanya.

Ditanya sama ada 25 mangsa yang masih hilang itu dipercayai selamat atau lemas, Simon berkata, perkara itu dapat disahkan lagi malah operasi carilamat akan diteruskan empat hingga 10 hari mengikut keperluan semasa.

"Saya tidak dapat sahkan lagi sama ada 25 mangsa yang masih hilang sudah menyusup masuk ke negara ini atau lemas. Ini kerana pihak berkuasa belum dapat soal siasat secara penuh mangsa yang perlu jalani prosedur saringan.

"Kesemua 14 mangsa yang terselamat kini ditahan di aset ATM di Pengerang sebelum disoal siasat dan diusir kembali ke negara asal," katanya.

Berita berkaitan

Bot pancung terbalik, 21 Pati dilaporkan selamat [METROTV]

10 Pati maut, 46 lagi hilang, bot pancung terbalik

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 5:23 PM