ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Seakan tidak serik, seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara Mac lalu dikesan melakukan kegiatan mencuri barangan dalam kenderaan bersama isterinya.

Pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun dan 45 tahun itu dikatakan mampu hidup senang malah membeli motosikal secara tunai hasil kegiatan mencuri di daerah ini.

Namun kegiatan mereka berdua akhirnya terbongkar dan berjaya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada jam 7 pagi Selasa lalu, seorang mangsa wanita berusia 29 tahun berada di rumah di Taman Bukit Teratai sebelum didatangi jiran lelaki memaklumkan kereta ibunya, Proton X70 terbuka.

Menurutnya, mangsa kemudian memeriksa kenderaan ibunya dan mendapati barangan di dalam kereta berselerak dan kehilangan telefon bimbit Iphone 6S warna putih bersama beg silang hitam jenama Calvin Klein mengandungi dokumen penting menyebabkan kerugian RM600.

"Susulan itu, pada jam 3 petang semalam polis menahan pasangan suami isteri itu yang tidak bekerja di Taman Tasek Tambahan kerana disyaki terbabit dalam kes disiasat.

"Pihak polis turut merampas sejumlah telefon bimbit pelbagai jenis, cermin mata pelbagai jenis, kamera, topi pelbagai jenis, beg tangan wanita pelbagai jenis, beberapa abu rokok kereta, pelbagai jenis jam tangan, minyak wangi, kad bank, kad Touch N Go, alat dengar (ear pods) dan kasut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan ke atas tangkapan pertama dapati punyai sembilan rekod lampau jenayah dan dadah manakala tangkapan kedua mempunyai tujuh rekod lampau jenayah dan dadah.

"Siasatan dapati suspek aktif melakukan perlakuan jenayah ini berseorangan dengan tujuh kes dalam daerah Ampang Jaya.

"Ujian air kencing ke atas tangkapan pertama didapati positif dadah jenis Methamphetamin, Amphetamine dan Morfin manakala tangkapan kedua didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta Morfin," katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah menyasarkan kereta yang diparkir di tempat sunyi dan mengumpil pintu.

"Kedua-dua tangkapan dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun keseksaan. Seksyen 379 KK merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 6:04 PM