Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli (kiri) bersama Hanafiah Mat (dua kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada masyarakat Tionghua. - FOTO NSTP
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli (kiri) bersama Hanafiah Mat (dua kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada masyarakat Tionghua. - FOTO NSTP
Rosli Ilham


Kemaman: Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 300 keluarga masyarakat Tionghua yang kurang bernasib baik sempena Program Sentuhan Kasih Festive (PSKF) Tahun Baharu Cina, semalam.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan bekalan makanan asas itu diagihkan kepada masyarakat Tionghua di Kemaman, Kota Bharu, dan Bentong, Pahang.

Katanya, program itu membabitkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Atara barangan makanan yang kita sumbangkan itu ialah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang.

"Selain itu, setiap keluarga juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti mi kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan SRJK (C) di Chukai, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu merupakan komitmen berterusan Petronas untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

"(PSKF) Tahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 seperti mana Sentuhan Kasih Festive untuk perayaan utama yang lain.

"Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membantu membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan," katanya.

Katanya, seramai 2,150 keluarga kurang berkemampuan diraikan oleh Yayasan Petronas melalui program itu di 13 negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara.

"Program ini merupakan inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mempunyai fokus untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan.

"Ia dianjurkan bersempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai saluran bagi Yayasan Petronas bekerjasama dengan komuniti dalam meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik untuk membuat persiapan menyambut perayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:44 PM