YUSRY (tiga dari kiri) bersama Zakaria (empat dari kiri) di Balik Pulau, ketika menyerahkan pek prihatin Sentuhan Kasih kepada antara lima keluarga yang berdaftar dengan JKM.
YUSRY (tiga dari kiri) bersama Zakaria (empat dari kiri) di Balik Pulau, ketika menyerahkan pek prihatin Sentuhan Kasih kepada antara lima keluarga yang berdaftar dengan JKM.

Balik Pulau: Yayasan PETRONAS meneruskan inisiatif Sentuhan Kasih perayaan seluruh negara dengan menghulurkan pek prihatin barangan keperluan asas kepada lebih 1,300 keluarga B40 dan golongan kurang berkemampuan untuk meraikan sambutan perayaan Krismas esok.

Di Pulau Pinang, 60 keluarga daripada golongan B40 terdiri rumah anak yatim, rumah kebajikan dan warga emas menerima sumbangan baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Barat Daya dan Timur Laut.

Mewakili pihak Yayasan PETRONAS bagi mengedarkan inisiatif pek bantuan ini ialah Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Awam, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Yusri Anuar Ahmad di sekitar Balik Pulau bersama-sama kakitangan JKM.

"Mendukung mesej Yayasan PETRONAS, kami sentiasa ingin terus menyemai semangat bantu-membantu dalam kehidupan. Adalah menjadi keutamaan kepada kami untuk terus berbakti kepada masyarakat dan memberikan sinar baharu kepada komuniti yang memerlukan. Kami berharap, sumbangan ini sedikit sebanyak menceriakan sambutan perayaan mereka," kata Yusri ketika menyertai kunjungan ke rumah penerima bantuan.

Antara barangan keperluan asas pek Sentuhan Kasih ini adalah, beras, minyak masak, gula, bihun dan tepung gandum. Selain itu, turut disertakan dalam pek bantuan ini adalah kit kendiri Covid-19, cecair pembasmi kuman dan juga Oximeter dalam usaha mengekang penularan jangkitan.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang Zakaria Taib berkata, semua penerima dikenal pasti menerusi maklumat daripada pemimpin masyarakat atau individu itu sendiri yang memerlukan bantuan.

"JKM amat memerlukan kerjasama menerusi program CSR seperti ini bagi membantu masyarakat.

"Kami berterima kasih kepada Yayasan PETRONAS serta berharap lebih banyak syarikat korporat dapat meneruskan kerjasama seperti ini," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 1:03 PM