25 pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi manakala pencalon bagi pemenang anugerah ini turut menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan. - FOTO McDonald’s.
25 pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi manakala pencalon bagi pemenang anugerah ini turut menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan. - FOTO McDonald’s.
Nur Amirah Abd Rani

BERSEMPENA sambutan Hari Guru tahun ini, seramai 25 guru dianugerahkan Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2022. 

Anugerah ini bagi menghargai jasa para guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang luar biasa dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan mewujudkan akses kepada pendidikan untuk anak murid.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia Melati Abdul Hai berkata, inisiatif tahunan ini adalah pengiktirafan buat guru 'luar biasa' yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara melalui pendidikan. 

Memasuki tahun keenam penganjurannya, anugerah ini menerima lebih daripada 5,600 pencalonan berbanding tahun lalu bermula 10 Mac hingga 2 April lalu. 

Berdasarkan pencalonan yang diterima, pemenang telah dipilih berdasarkan komitmen 'luar biasa' mereka dalam mendidik anak-anak bangsa negara.

"Setiap guru adalah unik dan kisah luar biasa yang diterima adalah tanda komitmen menyeluruh para guru dalam melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki demi mendidik murid-murid secara menyeluruh.

Tambah Melati, semua murid mampu berkembang sebagai individu yang seimbang dan berpotensi dengan didikan dan asuhan guru. 

"Sekatan pandemik yang lalu, sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pembelajaran normal murid, namun berdasarkan pencalonan yang diterima membuktikan betapa kukuhnya semangat kemanusiaan para guru dalam menjadi pemacu utama sistem pendidikan negara," katanya.  

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang merupakan tetamu kehormat majlis. 

Para penerima anugerah ini dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada wakil McDonald's, pegawai KPM dan pihak media. 

Setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi, manakala pencalon bagi pemenang anugerah itu turut menerima baucar hadiah McDonald's bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

Sejak pertama kali dilaksanakan pada 2017, Anugerah Guru Inspirasi McDonald's disampaikan kepada 131 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan negara.

Orang ramai boleh mengikuti kisah-kisah guru yang dicalonkan oleh rakyat Malaysia di pautan Anugerah Guru Inspirasi McDonald's.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:49 PM