PEGAWAI JKNM memeriksa barangan yang dijual di premis dalam Ops TBC 2023. FOTO Ihsan JKNM
PEGAWAI JKNM memeriksa barangan yang dijual di premis dalam Ops TBC 2023. FOTO Ihsan JKNM
Nuraliawati Sabri

Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan kompaun bernilai RM27,500 atas pelbagai kesalahan Akta Makanan 1983 termasuklah barangan yang dijual sudah melepasi tarikh luput.

Kesalahan itu dikesan JKNM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2023 bermula dari 8 Januari hingga semalam.

Pengarah JKNM Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, sepanjang operasi selama 12 hari itu, sebanyak 30 premis seluruh Melaka diperiksa pihaknya termasuk pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis ini, BKKM mendapati terdapat premis yang masih mempamerkan barangan yang sudah melepasi tarikh luput diatas rak dan kesalahan pelabelan serta keadaan bungkusan yang rosak.

"Jadi, sejumlah 450 jenis barangan makanan bernilai RM2,381 dirampas dan sembilan kompaun berjumlah RM27,500 dikeluarkan kepada premis yang terbabit," katanya.

Menurutnya, selain pemantauan keselamatan makanan, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan kebersihan premis makanan di negeri ini.

"Sehingga semalam juga kita sudah memeriksa 83 premis termasuk gerai dan restoran hasilnya 97 kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai RM26,650.

"Kesalahan yang dikesan adalah makanan diletak atau ditempatkan diatas lantai, tiada mempunyai suntikan dan tidak mempunyai kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron. Namun tiada tindakan penutupan premis yang dibuat oleh JKNM," katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, sepanjang tahun lalu, JKNM memeriksa sebanyak 5,081 premis makanan dan daripada jumlah itu 58 diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati kotor.

"Selain itu sejumlah 1,664 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM211,650," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 11:46 AM