Meor Riduwan Meor Ahmad

Jasin: Bukan saja membiarkan kampit beras dan bungkusan garam bersama najis haiwan yang sudah kering di dalam gudang, malah ada barangan dijual sudah empat tahun tamat tempoh.

Itu antara perbuatan jijik dan tidak bertanggungjawab pemilik sebuah pasar raya terkenal di daerah ini yang dikesan dalam serbuan Op Hari Raya 2022 dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bermula jam 11 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyertai operasi berkata, beliau bersama pegawai penguat kuasa JKN Melaka amat terkejut dengan tindakan pemilik premis mengabaikan aspek kebersihan.

Beliau menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan kesalahan itu, dan gudang berkenaan diarah tutup serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Hari ini kita melihat suatu yang mengejutkan saya kerana bukan saja makanan dijual ada yang luput dan hampir luput atau tidak disimpan dengan betul, tetapi lebih mengecewakan ia dibiarkan bersama najis haiwan yang difahamkan adalah kucing.

"Bela kucing dalam gudang satu kesalahan dan bila najisnya dibiarkan sampai kering, maksudnya memang sengaja diletakkan di situ dan ini kesalahan paling tidak boleh diterima.

"Jadi hari ini kita arah tutup keseluruhan gudang sehingga mereka buat pembersihan dan sehingga kita berpuas hati, baru akan dibuka semula," katanya pada sidang media selepas operasi itu yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman.

DR Muhamad Akmal bersama JKN Melaka mengadakan Op Raya di sebuah pasar raya di Jasin. Foto. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
DR Muhamad Akmal bersama JKN Melaka mengadakan Op Raya di sebuah pasar raya di Jasin. Foto. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Dalam serbuan itu, tiga kompaun bernilai RM9,500 dikeluarkan atas kesalahan tiada alamat pengimport, tamat tarikh serta kehadiran makhluk perosak selain 279 barang bernilai RM1,949.79 disita dan tindakan diambil mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam pada itu Dr Akmal turut memberi peringatan tegas kepada semua peniaga atau pasar raya yang tidak menjaga kebersihan.

"Anda kena ingat pembeli datang nak beli belah untuk hari raya, mereka beri kepercayaan kepada peniaga supaya makanan dibeli berkualiti.

"Kita tidak mahu apabila makanan dibeli akhirnya datang penyakit pula, ini tanggungjawab pembeli dan paling penting orang menjual.

"Jika didapati kesalahan ini berulang, kita tidak teragak-agak ambil tindakan paling keras untuk dikenakan kepada peniaga," katanya sambil menambah operasi dibuat susulan aduan orang awam.

Dr Akmal berkata, hasil pemeriksaan pasar raya itu turut dikesan menyimpan ayam dan hasil laut yang sudah busuk hingga beku selain rempah-ratus yang tamat tempoh pada 2018.

"Barang itu sudah luput, tetapi tidak dialihkan, malah dijual kepada pengguna dengan tarikh luput diletakkan paling hujung dan kabur serta mengelirukan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:17 PM