Kuala Lumpur: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jumlah industri keseluruhan (TIV) automotif negara meningkat kepada dua peratus atau 680,000 unit tahun ini berbanding 1.6 peratus atau 666,465 tahun lalu meskipun ekonomi Malaysia bakal berhadapan situasi sukar ekoran kelemahan mata wang Ringgit dan ketidaktentuan ekonomi global.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata sasaran itu dilihat realistik untuk dicapai memandangkan keyakinan pengguna akan bertambah baik apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April tahun ini.

“Inflasi dan pelaksanaan GST menjadi perkara utama yang akan memberi kesan kepada pengguna namun kesinambungan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka menyumbang kepada momentum pertumbuhan kepada ekonomi tempatan dan membantu memacu permintaan terhadap kenderaan baru,” katanya pada sidang media unjuran automotif 2015 dan laporan pasaran 2014, semalam.

Untuk 2015, MAA menjangkakan jumlah TIV bagi kenderaan penumpang akan meningkat kepada 600,700 unit atau 2.1 peratus berbanding 588,341 unit pada tahun lalu manakala kenderaan komersial meningkat kepada 79,300 unit atau 1.5 peratus berbanding 78,124 (2014).

Beliau berkata, trend perbelanjaan individu akan berubah pada tahun ini apabila mereka berhati-hati dalam melakukan sebarang pembelian ditambah dengan garis panduan pinjaman diperketatkan termasuk bagi pinjaman sewa beli oleh kerajaan sedikit menyukarkan urusan pembelian kereta harga rendah.

Menurutnya, beliau menjangkakan situasi itu dijangka memberi kelebihan kepada syarikat automotif tempatan untuk meningkatkan jualan dan penguasaan pasaran pada tahun ini di mana syarikat Proton dan Perodua mencatatkan penguasaan 49 peratus pada tahun lalu sekali gus dilihat membantu MAA dalam mencapai sasaran TIV bagi 2015.

Aishah berkata, 2014 masih dianggap tahun positif bagi industri automotif tempatan meskipun TIV tidak mencapai jumlah sasaran ditetapkan iaitu 680,000 unit di mana ia dilihat berjaya mengekalkan trend pertumbuhan menaik meskipun pada kadar lebih perlahan berbanding dengan tahun sebelumnya.

Jualan kenderaan baru pada 2014 meningkat kepada 1.6 peratus atau 666,465 unit berbanding jualan 2013 iaitu sebanyak 655,793 unit di mana ia adalah pencapaian rekod tertinggi yang dicatatkan oleh industri automotif tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:25 AM