Semporna: Lebih 2,000 penduduk di kawasan setinggan Kampung Bangau-Bangau, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, dianggarkan sebanyak 400 rumah di perkampungan atas air terbabit musnah selepas api gagal dikawal sehingga menyebabkan seluruh kawasan terbabit hampir musnah sepenuhnya.

Seorang penduduk, Timbasal Buwahan, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama keluarganya namun terbangun selepas terdengar jeritan.

“Saya terkejut selepas mendengar bunyi riuh rendah dan bangun untuk memeriksa namun sebaik saja keluar saya mendapati rumah kami sudah dikelilingi api.

“Saya segera mengarahkan empat anak menyelamatkan diri sebelum api merebak ke rumah kami,” katanya.

Timbasal berkata, mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan televisyen saja manakala barangan dan dokumen lain gagal selepas api merebak di perkarangan rumah.

“Semua barangan di dalam rumah musnah sepenuhnya selepas api mulai merebak ke kawasan kami dan keadaan berbahaya menyebabkan hanya televisyen yang sempat dibawa keluar,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nosana Mohd Pang, 38, berkata, keluarganya menyedari kebakaran itu selepas terasa haba panas luar biasa sedangkan penempatan mereka adalah kawasan perkampungan air.

“Saya pelik dengan keadaan panas sebelum terdengar jeritan jiran. Saya terkejut apabila mereka mengatakan berlaku kebakaran dan saya lihat sekeliling kawasan perkampungan sudah dipenuhi api.

“Tanpa berlengah, saya segera menyelamatkan diri namun beberapa jambatan menghubungkan laluan ke jalan besar musnah terbakar dan kami hanya bergantung kepada sampan untuk keluar dari kawasan kebakaran,” katanya.

Dia berkata, disebabkan keadaan semakin genting, mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah dan terpaksa ditinggalkan begitu saja.

Difahamkan semua penduduk yang terjejas kini ditempatkan di Dewan Kampung Bangau-Bangau dan Dewan Kementerian Belia dan Sukan daerah Semporna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 10:14 AM